PIALA MALAYSIA: EDISI KE-99 ADALAH AKSI FINAL ISTIMEWA SAYA - BERGSON
- Editor

- May 22
- 1 min read

Bakal penyerang naturalisasi Harimau Malaya, Bergson da Silva menegaskan setiap aksi final bersama Johor Darul Ta'zim sentiasa membawa makna tersendiri dan tidak pernah dianggap mudah walaupun pasukannya memiliki reputasi besar di pentas domestik.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Super itu berkata, setiap peluang beraksi di pentas final perlu dihargai sepenuhnya kerana masa depan dalam bola sepak sukar dijangka.
Menurut Bergson, fokus utama skuad Harimau Selatan ketika ini adalah memastikan satu lagi trofi berjaya dibawa pulang menerusi aksi final Piala Malaysia 2025–26 menentang Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
“Sudah tentu. Ia sentiasa menjadi final yang istimewa buat saya.
“Kerana saya tidak pernah tahu bilakah final yang seterusnya buat saya.
“Saya tidak tahu sama ada saya akan bermain lagi untuk JDT.
“Kita tidak pernah tahu apa akan jadi selepas keesokan hari.
“Jadi kami fokus untuk satu lagi peluang merangkul gelaran dan menjaringkan gol, tetapi kita tidak pernah tahu apa yang akan berlaku.
“Asas pasukan lebih penting untuk memenangi aksi esok tidak kira 1-0 atau 10-0 dan membawa pulang kejuaraan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Kuching City mencipta sejarah apabila mara ke final kejohanan berprestij itu buat kali pertama sejak kelab tersebut ditubuhkan, manakala skuad kendalian Xisco Muñoz memburu kejuaraan keempat berturut-turut dalam saingan Piala Malaysia.
Bergson dijangka sekali lagi menjadi sandaran utama JDT di bahagian serangan selepas tampil konsisten sepanjang musim dan terus membuktikan ketajamannya di depan pintu gol.





Comments