PIALA MALAYSIA: JDT TETAP WASPADA KEMAMPUAN KUCHING CITY
- Editor

- May 22
- 1 min read

Jurulatih Johor Darul Ta'zim, Xisco Muñoz mengakui rekod ampuh Kuching City FC bakal menjadi cabaran utama menjelang aksi final Piala Malaysia 2025–26, esok.
Pertembungan final itu menyaksikan JDT selaku juara bertahan turun dengan misi mempertahankan trofi, manakala Kuching City mencipta sejarah apabila mara ke pentas akhir buat kali pertama sejak penubuhan kelab itu 10 tahun lalu.
Walaupun Harimau Selatan dilabel sebagai pasukan pilihan, Xisco tetap enggan memandang mudah kemampuan wakil Borneo berkenaan selepas mempamerkan prestasi cukup konsisten sepanjang saingan Liga Super sehingga menamatkan musim selaku naib juara.
Pengendali dari Sepanyol itu menjangkakan aksi sengit berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan musim ini yang sering berakhir dengan keputusan tipis meskipun memihak kepada JDT.
Malah, kekuatan utama Kuching City yang hanya dibolosi 14 gol sepanjang kempen liga turut mendapat perhatian Xisco, sekali gus membuktikan disiplin tinggi skuad kendalian mereka.
“Cabarannya ialah kami menentang pasukan yang hanya dibolosi 14 gol dalam keseluruhan Liga Super. Mereka pasukan yang sangat berdisiplin.
“Apabila kami bermain menentang mereka, keputusannya sentiasa sengit sama ada 1-0, 0-1 atau 2-1. Kami perlu masuk ke padang dengan tahap fokus maksimum,” katanya.
Dalam masa sama, Xisco tetap menaruh keyakinan penuh terhadap barisan pemainnya untuk menampilkan aksi terbaik demi menamatkan musim dengan satu lagi trofi.
“Kuching City sangat kuat dari segi persaingan dan fizikal. Perlawanan esok menuntut tahap terbaik daripada kami. Kami perlu faham konteks final ini dan saya yakin pemain akan menunjukkan versi terbaik mereka,” katanya lagi.
Aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim menentang Kuching City FC bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, 23 Mei 2026 dengan sepak mula dijadualkan tepat jam 9 malam.





Comments