PIALA MALAYSIA: THE CATS HADIR DI PENTAS FINAL UNTUK MENCIPTA SEJARAH
- Editor

- May 22
- 2 min read

Ketua jurulatih Aidil Sharin Sahak percaya kejayaan Kuala Lumpur City FC mengejutkan Johor Darul Ta'zim pada final Piala Malaysia 2021 mampu menjadi inspirasi terbaik buat Kuching City FC menjelang aksi final Piala Malaysia di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Skuad The Cats hadir ke pentas final dengan status ‘underdog’, sama seperti situasi yang pernah dilalui KL City lima tahun lalu ketika berdepan Harimau Selatan yang terkenal sebagai kuasa besar bola sepak tanah air.
Namun, status itu langsung tidak melemahkan semangat pasukan dari Sarawak tersebut yang membawa misi besar untuk mencipta sejarah menjulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama.
Aidil menegaskan anak buahnya sudah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi cabaran getir menentang juara Liga Super itu, selain mahu memastikan pasukan tampil dengan persembahan terbaik di pentas final.
Pengendali dari Singapura itu bagaimanapun mengakui tiada siapa mampu menentukan keputusan sebenar perlawanan kerana segala-galanya hanya diketahui Tuhan.
“Saya bukan Tuhan, hanya Tuhan sahaja yang tahu apa yang akan berlaku kepada kita. Malah esok pun, kita tidak tahu apa yang akan berlaku.
“Keputusan bukan sesuatu yang boleh kami kawal, tetapi dari segi prestasi dan persembahan, itulah yang paling penting. Kami perlu bersaing dan apabila bertemu pasukan terbaik dalam liga, ia menjadi motivasi tambahan kepada pemain.
“Saya percaya pemain akan memberikan yang terbaik. Dalam beberapa perlawanan sebelum ini menentang mereka, ia sentiasa menjadi aksi yang sengit.
“Contoh sudah ada dan bola sepak adalah mengenai keyakinan serta kepercayaan. Kami datang ke sini bukan sekadar melengkapkan jadual.
“Kami mahu memberikan aksi terbaik dan tidak mahu menghampakan penyokong yang sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan perlawanan ini,” katanya pada sidang media di TM Stadium Nasional, hari ini.
Kuching City sememangnya muncul antara pasukan paling menyerlah musim ini apabila bukan sahaja berjaya mara ke final Piala Malaysia buat kali pertama, malah turut menamatkan saingan sebagai naib juara Liga Super.
Kejayaan itu sekali gus menghadiahkan slot beraksi dalam saingan AFC Champions League Two musim depan, sekali gus membuktikan peningkatan mendadak pasukan kendalian Aidil musim ini.





Comments