SABAH FC TUNDUKKAN PENANG 2-0, RAIH KEMENANGAN KEDUA LIGA SUPER


Sabah FC meneruskan permulaan positif dalam saingan Liga Super 2026/2027 apabila menewaskan Penang FC 2-0 pada aksi di Stadium Likas, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido mengumpul enam mata daripada dua perlawanan selepas sebelum ini menewaskan Star City FC 3-1 dalam aksi pembukaan musim.
Beraksi dalam keadaan hujan yang menyebabkan padang basah, kedua-dua pasukan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan permainan.
Sabah bagaimanapun tampil lebih agresif dan beberapa kali mengancam gawang Penang, termasuk menerusi percubaan Gonzalo Di Renzo pada minit ke-20 yang berjaya dinafikan penjaga gol pelawat, Mohammad Ramhdan Ab Hamid.
Kesabaran tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-40 apabila Di Renzo memecah kebuntuan selepas menerima hantaran kemas daripada Miguel Cifuentes sebelum menyudahkan peluang berkenaan untuk memberikan Sabah kelebihan 1-0.
Penang cuba memperkemaskan permainan selepas rehat, namun Sabah terus mengekalkan tekanan dan berjaya menggandakan kelebihan pada minit ke-53.
Abdul Hanafie Tokyo Abd Hashim muncul penjaring gol kedua selepas menyudahkan peluang di dalam kawasan penalti untuk meletakkan Sabah selesa mendahului 2-0.
Ketinggalan dua gol memaksa Penang meningkatkan asakan bagi mencari jalan merapatkan jurang. Beberapa percubaan berbahaya dilancarkan ke arah gawang Sabah, namun pertahanan tuan rumah kekal berdisiplin untuk mengekang ancaman pasukan pelawat.
Sabah turut bijak mengawal permainan pada fasa akhir perlawanan sebelum keputusan 2-0 kekal sehingga tamat, sekali gus membolehkan tiga mata penuh terus menjadi milik Sang Badak.
Kemenangan itu turut mengukuhkan kedudukan Sabah di kelompok teratas carta Liga Super dengan enam mata selepas dua perlawanan, di belakang Johor Darul Ta'zim dan Selangor FC dari segi perbezaan gol.
Ketua jurulatih Sabah, Juan Torres Garrido, sebelum perlawanan menegaskan kepentingan mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian sepanjang 90 minit selepas kemenangan ke atas Star City FC.
Kemenangan ke atas Penang membuktikan Sabah berjaya meneruskan momentum positif di awal kempen, selain mengekalkan rekod sempurna di laman sendiri selepas dua aksi liga.





Comments