SAFAWI UCAP SELAMAT TINGGAL, SAHUT CABARAN BAHARU DI JDT
- Editor

- Jul 1
- 1 min read

Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid, secara rasmi mengucapkan selamat tinggal kepada Kuala Lumpur City FC (KL City) selepas tamat tempoh pinjamannya bersama kelab tersebut.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Safawi mengakui keputusan untuk meninggalkan KL City bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, beliau percaya sudah tiba masanya untuk membuka lembaran baharu dalam kariernya.
“Terima kasih KL City. Setiap penamat menandakan permulaan baru. Bersyukur atas semua memori, pengajaran dan kembara yang dilalui bersama. Saya ucapkan selamat berjaya kepada pasukan untuk masa akan datang. Masa untuk cabaran baharu,” tulisnya.
Safawi kini kembali ke pangkuan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas menamatkan tempoh pinjaman selama semusim bersama skuad The City Boys.
Sepanjang kempen 2025/2026, pemain berusia 29 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang dengan merekodkan 14 gol dan lima bantuan jaringan dalam 31 penampilan dalam semua kejohanan, sekali gus menjadi antara tonggak utama KL City.
Bagaimanapun, masa depan Safawi terus menjadi tanda tanya apabila beliau kini dikaitkan dengan perpindahan ke Kuching City FC, naib juara Liga Super musim lalu.
Perkembangan itu turut dilaporkan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Selain Safawi, Kuching City juga dilaporkan sedang giat memperkukuhkan skuad dengan beberapa nama berprofil tinggi termasuk Declan Lambert, Ajdin Mujagic dan Park Jun-heong menjelang saingan musim 2026/2027.





Comments