top of page

SAMBUTAN KEJUARAAN MUSIM 2025/26, ‘JDT REALM OF 12 NIGHT’

  • Writer: Editor
    Editor
  • 1 day ago
  • 2 min read

Johor Darul Ta’zim FC bakal mencipta satu lagi detik bersejarah apabila menganjurkan sambutan mega ‘JDT Realm of 12 Night’ sempena kejayaan menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali ke-12 berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim pada 30 Mei ini.


Majlis sambutan gilang-gemilang itu dijangka menjadi antara acara bola sepak terbesar pernah dianjurkan di negara ini dengan gabungan hiburan bertaraf antarabangsa, teknologi moden serta persembahan visual spektakular bagi meraikan dominasi luar biasa Harimau Selatan dalam arena bola sepak tempatan.


Antara nama besar yang disahkan bakal membuat persembahan ialah penyanyi rap terkenal dunia 50 Cent selain kumpulan tarian antarabangsa Jabbawockeez dan Royal Family. Turut memeriahkan sambutan ialah artis Big Ben dan kumpulan hip hop Australia, OneFour.


Selain persembahan pentas, penyokong turut dijanjikan pengalaman luar biasa menerusi pertunjukan dron gergasi, bunga api, teknologi ‘augmented reality’ serta pertunjukan lampu laser yang bakal menerangi Stadium Sultan Ibrahim dalam suasana penuh warna-warni.



Sambutan itu dianjurkan sebagai simbol penghargaan kepada kejayaan luar biasa JDT yang terus mendominasi bola sepak Malaysia apabila muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia bagi musim 2025/26.


Lebih membanggakan, skuad kendalian Xisco Munoz itu menjadi kelab pertama dalam sejarah bola sepak negara yang memenangi kesemua trofi domestik utama selama empat musim berturut-turut bermula 2022, 2023, 2024/25 dan 2025/26.


JDT turut melengkapkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Super Malaysia selama empat musim berturut-turut sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai kuasa dominan bola sepak tanah air.


Kejayaan tersebut sekali lagi membuktikan konsistensi luar biasa Harimau Selatan yang terus menetapkan standard baharu dalam Liga Malaysia menerusi pengurusan profesional, fasiliti bertaraf dunia serta skuad berkualiti tinggi.


Difahamkan ribuan penyokong dijangka membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi bersama-sama meraikan malam bersejarah itu yang bukan sahaja menampilkan elemen bola sepak, malah festival hiburan bertaraf antarabangsa.


Sejak mengambil alih landskap bola sepak negara lebih sedekad lalu, JDT berjaya muncul sebagai pasukan paling berjaya dalam era moden Liga Malaysia apabila memenangi 12 gelaran Liga Super berturut-turut selain mengumpul pelbagai trofi domestik dan mencipta reputasi besar di pentas Asia.


‘JDT Realm of 12 Night’ dijangka menjadi simbol kemuncak kepada era dominasi Harimau Selatan yang terus sukar digugat mana-mana pencabar dalam saingan domestik ketika ini.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page