'THE FANDI BROTHERS’ DIJANGKA TINGGALKAN LIGA THAILAND
- Editor

- 5 hours ago
- 2 min read

BINTANG bola sepak Singapura, tiga beradik keluarga Fandi iaitu Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi dijangka mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Liga Thailand selepas masa depan mereka bersama kelab masing-masing tidak lagi terjamin.
Irfan Fandi, 28, dilaporkan sudah menamatkan kontraknya bersama kelab terkenal Thai League, Port FC manakala dua lagi adiknya, Ikhsan Fandi, 27, dan Ilhan Fandi, 23, dilepaskan oleh BG Pathum United dalam proses rombakan pemain import pasukan itu menjelang musim baharu.
Menurut laporan media Thailand, Ball Thai Stand, ketiga-tiga pemain itu sebenarnya masih berminat untuk terus beraksi di Thailand, namun situasi semasa memaksa mereka mempertimbangkan pilihan lain termasuk menerima pengurangan gaji atau berhijrah ke liga ASEAN lain.
Antara destinasi yang disebut-sebut bakal menjadi pilihan utama ialah Liga Perdana Singapura, dengan juara liga, Lion City Sailors dilaporkan berminat mendapatkan khidmat mereka bagi memperkukuhkan skuad musim depan.
Perubahan besar dalam struktur pemain import Liga Thailand dilihat menjadi faktor utama situasi itu berlaku apabila pihak liga membuat keputusan memansuhkan kuota pemain ASEAN bermula musim hadapan.
Keputusan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada keluarga Fandi, malah ramai pemain dari rantau Asia Tenggara turut menerima tempias apabila peluang untuk beraksi sebagai pemain import di Thailand semakin terhad.
Sebelum ini, pemain-pemain ASEAN mendapat kelebihan apabila tidak dikira sebagai pemain import utama, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk pemain dari Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina beraksi di Thai League.
Namun dengan pemansuhan kuota itu, kelab-kelab Thailand kini lebih cenderung memilih pemain import dari benua lain yang dianggap memiliki nilai kompetitif lebih tinggi.
Untuk rekod, keluarga Fandi antara nama besar bola sepak Singapura dengan ketiga-tiga adik-beradik itu pernah menjadi tonggak utama skuad kebangsaan negara berkenaan selain memiliki pengalaman luas beraksi di pentas Asia Tenggara.





Comments