ARIF AIMAN SARUNG JERSI NOMBOR 10, ISYARAT ERA BAHARU BINTANG JDT


Bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi tampil dengan kelainan apabila mengenakan jersi nombor 10 buat pertama kali dalam aksi persahabatan menentang Chelsea di Stadium Sultan Ibrahim, pada ahad..
Lebih menarik, pemain berusia 24 tahun itu turut diberi kepercayaan menyarung lilitan kapten Harimau Selatan bagi pertemuan berprestij berkenaan, sekali gus mencuri perhatian penyokong kedua-dua pasukan.
Perubahan itu dapat dilihat menerus kesebelasan utama JDT yang diturunkan, apabila Arif Aiman tidak lagi menggunakan nombor 42, nombor yang sinonim dengannya sejak melakukan penampilan sulung bersama kelab berkenaan.

Sebaliknya, pemain sayap kebangsaan itu kini tampil dengan jersi nombor 10 yang pernah dipakai beberapa tonggak import JDT sebelum ini, termasuk Chico Geraldes dan Jonathan Vieira.
Pemilihan nombor berkenaan dilihat cukup signifikan memandangkan jersi nombor 10 lazimnya dikaitkan dengan pemain kreatif serta tonggak utama sesebuah pasukan.
Arif Aiman yang terus berkembang sebagai antara pemain paling menyerlah dalam skuad JDT dijangka menjadi sandaran utama Harimau Selatan menjelang musim baharu Liga Malaysia yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.
Aksi menentang Chelsea malam ini bukan sahaja menjadi pentas untuk Arif Aiman berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu, malah berpotensi menjadi permulaan kepada satu era baharu buat pemilik jersi nombor 10 JDT.
Jika nombor berkenaan kekal menjadi miliknya untuk saingan musim 2026/27, ia pastinya menambah satu lagi bab penting dalam perjalanan karier Arif Aiman bersama Harimau Selatan.





Comments