top of page

BERGSON DA SILVA CATAT REKOD PENJARING TERBANYAK LIGA SUPER SEPANJANG ZAMAN

  • Writer: Editor
    Editor
  • Sep 23
  • 1 min read

ree

Nama Bergson Da Silva kini terpahat kukuh dalam sejarah bola sepak Malaysia apabila penyerang prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super Malaysia sepanjang zaman dengan rekod baharu 109 gol.


ree

Pencapaian gemilang itu hadir selepas pemain kelahiran Brazil berusia 34 tahun itu meledak hatrik ketika membantu JDT membelasah Sabah FC 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada aksi Liga Super, 21 September lalu.


Kejayaan tersebut sekali gus menyaksikan Bergson memadam rekod lama milik penyerang veteran, Indra Putra Mahyudin, yang sebelum ini memegang gelaran penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 106 gol.


ree

Lebih manis, detik bersejarah itu hadir di hadapan ribuan penyokong Harimau Selatan yang sekali lagi menyaksikan keampuhan JDT selaku gergasi bola sepak tanah air.


Apabila ditanya tentang pencapaiannya itu, Bergson mengakui terkejut kerana dapat mengatasi rekod yang dicipta Indra.


“Saya tak pernah terbayang sebelum saya datang (ke Malaysia), untuk pecahkan rekod (Indra) dan menjaringkan banyak gol.


“Tapi selepas saya melakukannya, sekarang ialah cabaran baru (buat saya),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.



Sejak tiba di JDT pada musim 2021, Bergson pantas menjadi watak penting dalam jentera serangan Harimau Selatan. Ketajaman penyudahnya, kekuatan fizikal serta kemampuan membaca permainan menjadikannya mimpi ngeri buat benteng pertahanan lawan.


Selain rekod baharu 109 gol, Bergson juga antara pemain asing paling konsisten dalam sejarah Liga Super dengan purata jaringan hampir satu gol setiap perlawanan.


Dengan baki perlawanan musim ini, rekod 109 gol dijangka akan terus bertambah, sekali gus meletakkan penyerang Brazil itu jauh meninggalkan pencabar lain. Apa yang pasti, nama Bergson Da Silva kini sudah terpahat kukuh dalam lipatan sejarah bola sepak Malaysia, simbol keunggulan seorang penyerang yang sukar digugat.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2025 Sports Republic™. All Rights Reserved.  
sportsrepublic.asia is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.
bottom of page