LIGA SUPER: BERGSON LEDAK DUA GOL, JDT TUNDUKKAN DPMM FC 3-0


Dua jaringan Bergson da Silva membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan DPMM FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, semalam, sekali gus mengukuhkan kedudukan Harimau Selatan di persada liga.
Kemenangan itu turut menyaksikan JDT meneruskan rentak positif dengan mencatat kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga.
Bergson membuka tirai jaringan pada minit ke-36 selepas menyudahkan peluang yang terhidang dalam situasi yang pada awalnya mencetuskan persoalan mengenai kedudukan ofsaid.
Bagaimanapun, semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilakukan pengadil, S Logeswaran, mengesahkan jaringan berkenaan sekali gus memberikan JDT kelebihan 1-0.
Penyerang kelahiran Brazil itu kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah hanya empat minit berselang apabila menyempurnakan hantaran Arif Aiman Hanapi menerusi rembatan kencang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Bergson hampir melengkapkan hatrik sebelum tamat babak pertama, namun jaringan berkenaan tidak disahkan selepas semakan VAR mendapati Jonathan Silva berada dalam kedudukan ofsaid ketika menghasilkan hantaran.
Memasuki babak kedua, JDT terus menguasai permainan dan melancarkan tekanan berterusan ke atas benteng pertahanan DPMM.
Tekanan itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-77 apabila Stoichkov melepaskan rembatan leret dari luar kotak penalti selepas menerima bola tandukan ke belakang daripada pemain gantian, Corbin Ong.
DPMM berusaha mencari gol sagu hati bagi merapatkan jurang, namun percubaan Miguel Oliveira selepas menerima lorongan Nurikhwan Othman gagal menemui sasaran.
JDT bagaimanapun kekal tenang sehingga wisel penamat untuk memastikan kemenangan 3-0, sekali gus meneruskan momentum cemerlang skuad kendalian Xisco Munoz dalam saingan Liga Super.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus menguasai persada liga, selain mengekalkan rekod kemenangan sempurna dalam empat perlawanan terakhir mereka.





Comments