LIGA SUPER: SAFAWI RASID SAH SERTAI KUCHING CITY FC HADAPI MUSIM 2026/27
- Editor

- Jul 5
- 1 min read

Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid, sah menyertai Kuching City FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2026/27 selepas perpindahannya diumumkan secara rasmi oleh kelab dari Sarawak itu pada Ahad.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi semua platform media sosial rasmi Kuching City FC, sekali gus menamatkan spekulasi mengenai destinasi baharu pemain berusia 29 tahun itu.
Dalam kenyataan kelab, Kuching City menyifatkan kehadiran Safawi sebagai satu suntikan besar buat pasukan menjelang musim baharu.
“Selama berminggu-minggu, khabar angin terus bertebaran dan menjadi perhatian penyokong bola sepak tanah air. Hari ini, penantian itu berakhir apabila salah seorang bintang utama Malaysia bersedia memulakan lembaran baharu bersama Kuching City FC. Selamat datang, Safawi Rasid,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum pengumuman rasmi itu, pemain kelahiran Dungun, Terengganu berkenaan telah memberi bayangan menerusi media sosialnya bahawa beliau bakal menyertai Kuching City.
Safawi menjadi antara beberapa pemain berprofil tinggi yang dibawa masuk The Cats bagi memperkukuhkan skuad musim depan, menyertai Nazmi Faiz Mansor, Dylan Wenzel-Halls, Irfan Zakaria serta pemain tengah dari Jepun, Kaishu Yamazaki.
Kehadiran bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Ratchaburi FC dan Kuala Lumpur City FC itu dijangka memperkukuhkan jentera serangan pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak.
Safawi turut hadir dengan rekod prestasi memberangsangkan selepas menjaringkan 14 gol serta mencipta lima bantuan gol dalam semua pertandingan bersama Kuala Lumpur City FC pada musim lalu, sekali gus menjadikannya antara pemain tempatan paling menyerlah dalam Liga Malaysia.





Comments