PIALA SUMBANGSIH KEKAL DI SELATAN, JDT JUARA BUAT KALI KE-9


ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) membuka tirai musim Liga Malaysia 2026/27 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Kuching City FC 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih 2026 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah kekal di bumi Selatan buat kali kesembilan, sekali gus menjadi permulaan sempurna buat Harimau Selatan dalam usaha mempertahankan dominasi mereka di pentas bola sepak tempatan.
Sebanyak 32,372 penyokong membanjiri Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan kepada JDT, dengan sorakan tanpa henti mencetuskan suasana penuh meriah sempena kembalinya saingan Liga Malaysia untuk musim baharu.
Sejak wisel permulaan, JDT tampil dengan intensiti tinggi dan terus mengasak pertahanan The Cats yang dilihat berdepan tekanan berterusan.

Tekanan tersebut akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-10 apabila Marcos Guilherme membuka tirai jaringan menerusi gerakan satu-dua kemas bersama penyerang utama, Bergson Da Silva.
Kuching City kemudian memperkemaskan organisasi pertahanan dan berjaya mengekang beberapa siri serangan JDT sehingga tamat separuh masa pertama, dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga waktu rehat.
Bersambung babak kedua, JDT tidak memperlahankan rentak sebaliknya terus menguasai permainan dalam usaha mencari gol kedua.
Hasilnya, Oscar Arribas menggandakan kelebihan Harimau Selatan pada minit ke-55 selepas menerima lorongan cantik daripada Nacho Méndez sebelum melepaskan rembatan deras kaki kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.
JDT terus mengawal permainan dan akhirnya melengkapkan kemenangan menerusi rekrut terbaharu, Shahab Zahedi, pada minit ke-85.
Ketua pasukan, Arif Aiman Hanapi, memainkan peranan penting apabila melakukan lorongan kemas untuk disudahkan Shahab dengan tenang bagi menghasilkan gol sulungnya bersama Harimau Selatan.
Kemenangan 3-0 itu bukan sahaja menghadiahkan JDT trofi pembukaan musim, malah memberikan isyarat jelas bahawa juara bertahan Liga Malaysia itu bersedia meneruskan penguasaan mereka dalam saingan musim 2026/27.
Bagi Kuching City pula, kekalahan tersebut menjadi permulaan yang sukar, namun persembahan mereka khususnya di separuh masa pertama menunjukkan keupayaan The Cats untuk memberikan cabaran kepada pasukan pilihan utama Liga Malaysia.





Comments