top of page

SEDEKAD MASA BERLALU, JDT KEKAL DOMINAN, SELANGOR KEKAL BERJANJI

  • Writer: Editor
    Editor
  • May 29
  • 3 min read

Selangor FC terus menjadi antara pasukan paling berpengaruh dalam sejarah bola sepak Malaysia.


Dengan reputasi sebagai kelab paling berjaya dalam era bola sepak tempatan, penyokong Merah Kuning sentiasa meletakkan harapan tinggi agar pasukan kesayangan mereka kembali menguasai arena domestik dan mencabar pencapaian Johor Darul Ta'zim (JDT).


Namun selepas sedekad berlalu, persoalan besar mula timbul dalam kalangan penyokong – sejauh mana Selangor benar-benar bergerak ke hadapan?


Setiap musim, pengurusan Selangor FC tampil dengan sasaran yang hampir sama.


Antaranya merapatkan jurang dengan JDT, bersaing lebih kompetitif di pentas Asia serta menghadiahkan sekurang-kurangnya satu trofi kepada penyokong.


Bagaimanapun, realitinya jauh berbeza.


Dalam tempoh 10 tahun terakhir, JDT bukan sahaja mengukuhkan dominasi di peringkat domestik malah berjaya meletakkan nama Malaysia di peta bola sepak Asia. Kejayaan menjuarai Piala AFC 2015 menjadi titik perubahan besar buat Harimau Selatan sebelum mereka terus mencipta pelbagai sejarah baharu termasuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim 2025/26.


Lebih mengagumkan, JDT berjaya mengekalkan konsistensi luar biasa dengan memenangi empat trofi utama selama empat musim berturut-turut, sesuatu yang belum pernah dicapai mana-mana kelab lain di Malaysia.


Sebaliknya, Selangor masih bergelut mencari formula kejayaan.


Trofi utama terakhir yang dimenangi Merah Kuning ialah Piala Malaysia 2015 ketika dibimbing Mehmet Durakovic. Sejak itu, pelbagai perubahan dilakukan termasuk pertukaran jurulatih, rombakan pemain serta pelaburan besar dalam skuad, namun hasilnya masih belum memenuhi harapan penyokong.


Musim 2025/26 sepatutnya menjadi peluang terbaik untuk Selangor mengakhiri kemarau kejuaraan. Mereka berjaya melangkah ke pentas akhir Shopee Cup dan mencipta sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama mara ke final kejohanan tersebut.


Namun impian itu berakhir dengan kekecewaan apabila tewas kepada Buriram United.

Walaupun pencapaian tersebut boleh dianggap positif dari sudut perkembangan pasukan, ramai penyokong melihatnya sebagai satu lagi peluang yang terlepas untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi.


Prestasi dalam saingan domestik juga menimbulkan persoalan.


Selepas dua musim berturut-turut muncul naib juara Liga Super, Selangor gagal mengekalkan momentum apabila menamatkan musim di tangga ketiga. Lebih mengecewakan, kedudukan kedua berjaya dirampas oleh Kuching City FC yang dilihat memiliki sumber dan pengalaman yang lebih terhad berbanding Selangor.


Di pentas Asia pula, prestasi Selangor dalam ACL2 musim ini menambahkan lagi tekanan terhadap pengurusan pasukan.


Merah Kuning gagal mencatat sebarang kemenangan sepanjang kempen peringkat kumpulan. Mereka hanya mengutip satu mata dan dibolosi sebanyak 15 kali, sekali gus memperlihatkan jurang yang masih besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa.


Kegagalan demi kegagalan ini turut menyaksikan ketidakstabilan dalam struktur teknikal pasukan apabila Selangor bertukar tiga jurulatih dalam tempoh yang singkat – daripada Katsuhito Kinoshi kepada Christophe Gamel sebelum akhirnya Kim Pan-gon mengambil alih tugas tersebut.


Situasi ini secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar kelab.


Apa yang membezakan JDT dan Selangor bukan semata-mata soal kewangan atau kualiti pemain, tetapi kestabilan perancangan jangka panjang. JDT mempunyai visi yang jelas, struktur pengurusan yang kukuh dan hala tuju yang konsisten sejak lebih sedekad lalu.


Sebaliknya, Selangor masih dilihat mencari identiti terbaik untuk kembali menjadi pencabar utama.


Penyokong tidak menuntut keajaiban dalam tempoh semalaman. Mereka memahami proses pembangunan sesebuah pasukan memerlukan masa. Namun selepas 10 tahun tanpa trofi utama, mereka berhak untuk meminta penjelasan dan jawapan yang lebih jelas daripada pihak pengurusan.


Lebih penting, mereka mahu melihat pelan tindakan yang realistik dan boleh diukur, bukannya sekadar janji yang diulang setiap musim.


Jika kegagalan ini terus berulang tanpa sebarang penambahbaikan yang ketara, kebimbangan terbesar bukan sekadar kehilangan trofi tetapi kehilangan kepercayaan penyokong yang selama ini menjadi tulang belakang kekuatan Selangor FC.


Kini persoalannya bukan lagi sama ada Selangor mampu mengejar JDT atau tidak.


Sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah adakah Selangor mempunyai keberanian untuk melakukan perubahan besar demi memastikan kelab gergasi itu kembali berada di landasan yang sepatutnya?


Jawapan kepada persoalan itu bakal menentukan masa depan Merah Kuning untuk dekad akan datang.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page