top of page

LIGA SUPER: SHAHAB ZAHEDI CIPTA HATRIK, JDT PESTA GOL 9-0

Writer: Editor
Editor
Aug 27
1 min read

Tidak perlu menunggu lama untuk mencipta impak, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Shahab Zahedi muncul pemain pertama meledak hatrik dalam saingan Liga Super 2026/27 selepas membantu skuad Harimau Selatan membelasah Kelantan Red Warrior (KRW) 9-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam tadi.


Penyerang kebangsaan Iran itu hanya memerlukan 80 saat untuk membuka tirai jaringan JDT sebelum sekali lagi mencuri tumpuan apabila bergandingan dengan kapten, Arif Aiman Hanapi, bagi menghasilkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-37.


Zahedi, 31, terus membuktikan ketajamannya apabila melengkapkan hatrik sebaik perlawanan memasuki minit ke-50, sekali gus mencipta rekod peribadi membanggakan dalam penampilan keduanya bersama JDT dalam saingan Liga Super musim ini.


Tidak berhenti setakat itu, bekas penyerang Persepolis tersebut terus memburu jaringan dan melengkapkan malam gemilangnya dengan gol keempat peribadi selepas menyudahkan hantaran Afiq Fazail untuk membantu JDT melebarkan kelebihan kepada 6-0.


Kehadiran Zahedi ternyata memberikan dimensi baharu kepada jentera serangan JDT, khususnya menerusi keserasian pantasnya bersama pemain-pemain utama seperti Arif Aiman.


Selain Zahedi, Jairo da Silva, Matías Nahuel, Eddy Israfilov dan Arif Aiman turut mencatat nama selaku penjaring untuk melengkapkan kemenangan besar JDT dalam aksi kedua liga musim ini.


Arif Aiman pula tampil cukup menyerlah apabila bukan sahaja menyumbang jaringan, malah turut menghasilkan tiga bantuan gol untuk menjadi antara watak penting dalam pesta gol skuad kendalian Xisco Muñoz itu.


Kemenangan besar tersebut meneruskan permulaan sempurna JDT musim ini, selain memberikan Xisco satu lagi 'masalah' positif dalam menentukan kesebelasan terbaik apabila hampir keseluruhan barisan serangannya menunjukkan prestasi memberangsangkan.


Dengan ketajaman Zahedi yang semakin terserlah serta prestasi konsisten pemain lain, JDT jelas memberi amaran awal bahawa mereka sekali lagi hadir dengan misi mempertahankan dominasi dalam saingan Liga Super musim 2026/27.

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
© 2026 Sports Republic™.
sportsrepublic.asia & thephotoshooterz.com is part of The Photoshooterz (JM0664091-M)
Group of Companies.

All Rights Reserved.  
bottom of page